Ucapan Dr Zulkifli Ismail

Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia

Sempena Pelancaran Pameran MUMMY & ME di MidValley Exhibition Centre pada 1 Sept 2006

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Penerangan Malaysia di atas kesudian beliau menerima jemputan kami melancarkan Pameran dan Program Mummy & Me pada pagi ini. Pameran ini merupakan satu-satunya pameran kelengkapan bayi dan ibu yang melibatkan suatu Persatuan Profesioanal seperti Persatuan Peditrik Malaysia atau Malaysian Paeditric Association (MPA). Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, MPA telah membuat keputusan dalam tahun 1990 lagi untuk melibatkan diri dalam penyebaran maklumat kepada khalayak ramai melalui media massa supaya cara-cara rawatan untuk kanak-kanak di sebarkan dan rawatan yang tidak berasas saintifik dibincang demi kesihatan generasi yang akan datang. Ini adalah kali pertama yang pihak Persatuan Pediatrik Malaysia melibatkan diri dalam satu pameran untuk ibu dan bayi secara besar-besaran.

Penglibatan kami bukan sebagai ‘endorsement’ kepada perkakas, alat-alat atau bahan lain yang dipamerkan pada 3 hari ini. Malahan, penglibatan kami ialah untuk memastikan yang semua bahan, perkakas, alat-alat dan lain yang dipamerkan adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan atau menjejaskan keselamatan anak. Kami juga akan menganjurkan beberapa ceramah berkenaan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak pada petang hari Sabtu dan Ahad. Walaupun kami ingin juga beri lebih lagi ceramah kesihatan anak tetapi kita semua ada kerja dan pesakit-pesakit yang memerlukan perkhidmatan kami pada masa yang sama. Saya difahamkan bawaha SusuIbu.com akan memberi beberapa ceramah dan tip berkenaan cara penyusuan bayi dengan susu ibu dengan jayanya. Ini adalah untuk menentukan anak-anak kita dapat susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan pertama usianya dan kemudiannya di beri makanan pepejal dengan jayanya. Makanan asas ini adalah penting sekali untuk memastikan generasi akan datang yang sihat.

Di Negara ini, ibubapa terdedah kepada banyak iklan alat-alatan, buku-buku, cara-cara meningkatkan pencapaian anak, susu serta makanan yang berkhasiat, vaksin baru dan banyak lagi untuk kanak-kanak. Ramai juga ibu bapa yang senang terpengaruh dengan iklan ini tanpa menyiasat jika ianya berasas maklumat yang kukuh atau hanya rekaan para media massa . Dengan timbunan maklumat yang boleh didapati melalui media cetakan dan internet, adalah amat sukar bagi seseorang itu menentukan kebenaran sesuatu iklan. Peranan kami ialah untuk cuba memberi maklumat yang seimbang supaya ibu bapa dapat membuat keputusan yang bijak untuk anak mereka (informed choice).

Pada masa ini, program penyebaran maklumat kesihatan kanak-kanak tertumpu di kawasan bandaraya dan bandar-bandar besar. Kita perlu berusaha meluaskan skop dan sempadan penyiaran maklumat yang merangkumi kawsan luar bandar khasnya yang terpencil. Cara yang paling efektif ialah dengan siaran televisyen kerana syarikat-syarikat seperti Espifokus Sdn.Bhd dan yang lain tidak akan anjurkan pameran seperti ini di kawasan terpencil.

Saya sendiri pernah menulis ‘storyboard’ untuk satu dokumentari keselamatan kanak-kanak untk mkementrian Kesihatan Malaysia beberapa tahun lalu tetapi dokumentari tersebut hanya ditayangkan selama beberapa bulan sahaja. Keadaan begini adalah menyedihkan dan topik perbualan berkenaan kesihatan dan penyakit kanak-kanak diadakan dalam televisyen hanya apabila tiada bahan perbincangan lain untuk slot yang kosong atau diadakan secara ad hoc. Oleh yang demikian, kebanyakan maklumat yang diperolehi ibubapa negara ini ialah daripada buku dari negara barat. Cara keibubapaan atau parenting style kita juga terpengaruh daripada cara barat atau daripada drama-drama televisyen. Adalah baiknya jika suatu slot berkenaan penjagaan kesihatan kanak-kanak dan ibu disiarkan dalam televisyen dengan bimbingan serta nasihat daripada para professional seperti pakar-pakar pediatrik, obstetrik dan ginekologi, psikiatri serta lain-lan lagi. Ini akan memastikan segala maklumat yang diberi adalah tepat dan releven untuk masyarakat kita di Malaysia.

Persatuan Pediatrik Malaysia pada masa ini menjalankan program Positive Parenting sejak tahun 2000 dengan seminar dan terbitan majalah serta artikel dalam akhbar tiga bahasa utama. Seminar yang akan datang ialah pada 16hb September 2006 dan kami melibatkan pakar-pakar sakit puan, pemakanan, psikologi dan psikitri kanak-kanak untuk memberi pandanagn yang berkeseluruhan atau holistic approach. Malangnya program ini juga tertumpu di kawasan bandaraya disebabkan masalah logistik walaupun ahli-ahli Persatuan telah dijemput untuk memberi pendapat dalam program televisyen dan radio, ianya jarang berlaku.

Tuan tuan dan puan puan , pameran Mummy & Me yang akan diadakan pada tiga hari akan datang ini merupakan pakatan antara syarikat Espifokus Sdn.Bhd sebagai penganjur dan Persatuan Pediatrik Malaysia sebagai hos dengan syarikat-syarikat serta organisasi-organisasi yang mengambil bahagian dengan pameran-pameran dan aktiviti mereka. Saya bagi pihak penganjur dan persatuan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah bekerjasama dengan kami untuk menjayakan acara ini. Kami memohon maaf jika terdapat kesilapan atau tersasul kata. Saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Ahmad Zahid Hamidi kerana sudi bersama kita pada hari ini.

Terima kasih. Assalamualaikum wrt.